About Me

My photo
Seorang guru yang berpengalaman dan mahu berbakti untuk nusa bangsa berusaha menjayakan blog ini.

Monday, November 16, 2009

CONTOH FRASA MENARIK

Isu remaja

1. Keluarga
- Kedangkalan (kekurangan) kasih sayang daripada ibu bapa terhadap remaja juga menyebabkan remaja mudah….
- Dalam menempuh arus globalisasi ini, ibu bapa semakin alpa (lupa) terhadap tanggungjawab mereka kerana mereka terlalu obses(asyik) mengejar arus modenisasi.
- Hadis nabi ada menyebut bahawa, anak-anak diibaratkan sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Nasrani atau Majusi.
-Setiap remaja Islam hendaklah memastikan tidak meninggalkan solat lima waktu sehari kerana Allah S.W.T berfirman bahawa, “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”
- Mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah berkata bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk cahaya mata mereka.
- Albert Einstein iaitu orang yang paling bijak di dunia ini telah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh.
- Memetik kata-kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, kewujudan keluarga penyayang akan menyebabkan seseorang anggota keluarga tersebut akan berasa lebih senang menghabiskan masa lapangnya di rumah.
- Kajian daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati kebanyakan rakyat yang terlibat dengan gejala negatif terutamanya golongan remaja yang terdiri daripada mereka yang mempunyai konflik keluarga.
- Kempen yang dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Sri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bertemakan ‘Keluarga Penyayang Aspirasi Negara’.
- Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa benih yang bernas apabila jatuh kelaut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan jatuh ke bumi menjadi penawar. Demikainlah betapa besarnya peranan sesebuah keluarga dalam menentukan kesinambungan masyarakat madani.

2. Sekolah
- Menurut penggiat sosial tanah air, Tan Sri Lee Lam Thye, 40 peratus daripada golongan pelajar kita pada hari ini terlibat dalam masalah sosial seperti membunuh, perogol, merompak dan sebagainya.
- Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk melahirkan modal insan yang syumul dengan ilmu pengetahuan dan tepu dengan nilai-nilai moral.

3. Kerajaan
- Menerusi Kementerian Belia dan Sukan, banyak aktiviti yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan remaja memanfaatkan hidup remaja dengan aktiviti berfaedah.
- Program Rakan Muda perlu dimanfaatkan oleh remaja untuk menentukan hala tuju bagi memastikan remaja menjadi warganegara yang berguna.
- Pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia perlu bertindak tegas terhadap unsur negatif yang berleluasa dalam masyarakat kita terutamanya apabila melibatkan remaja kita.
- Kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Air dan Telekomunikasi perlu mengawal penyebaran gambar, maklumat dan berita yang dibawa oleh anasir-anasir yang negatif.Ungkapan menarik tentang isu remaja
- “Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan yang dilontarkan oleh Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan.
- Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
- Janganlah diabaikan pesanan ahli filsuf Tao iaitu jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia. Sekiranya masa depan remaja kita tidak dipelihara, negara akan kehilangan mutiara yang paling berharga untuk menjadi pelapis kepimpinan negara.
- Berdasarkan salah satu falsafah pemikiran Imam al-Ghazali yang menyebut bahawa seseorang kanak-kanak yang diajarkan erti berkasih sayang, dia akan berlatih mengasihi orang lain.

ISU KERAJAAN / NEGARA

Amalan Gaya Hidup Sihat- Mantan Perdana Menteri, Tun Sri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah melancarkan kempen ‘Tak Nak’ dan ‘Setiap Sedutan Membawa Padah’ pada tahun 2005.
- Berdasarkan petikan hadis yang berbunyi, “Jagalah masa sihat kamu sebelum datang masalah sakit…” jelas menyatakan bahawa kesihatan merupakan aset yang paling bernilai dalam hidup.

Integrasi Nasional/ Perpaduan
- Tun. Dr. Mahathir juga pernah berkata bahawa kita hendaklah mengetepikan emosi yang menimbulkan perpecahan, sebaliknya bersatu-padu membuat kegiatan-kegiatan yang boleh membangunkan negara.
- Mantan Perdana Menteri, Tun Sri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah julung-julung kali melancarkan kempen ‘Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni’ pada akhir tahun 2004.
- Pada 31 Oktober 2006, dilaporkan bahawa mantan Timbalan Perdana Mentari Britain, John Prescott menyatakan keinginan Britain mempelajari pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara kaum dan amalan tolak ansur agama.

Jenayah Negara
- Menurut sejarah dunia, kejatuhan Empayar Rom disebabkan oleh banyaknya kes jenayah dan keruntuhan akhlak berlaku.
- Rakyat perlu menghayati pesanan mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohammad, iaitu seseorang yang lupa akan sejarah pasti akan mengulanginya.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyeru orang ramai agar bersama-sama menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang berlaku di kawasan kediaman seperti kes pecah rumah, kes culik, kes rogol dan beraneka kes jenayah lagi.
TEMA KARANGAN SPM 2009 (N)

Pelajar perlu memberi perhatian terhadap tema karangan yang belum dikemukakan dalam mana-mana peperiksaan SPM antara tahun 2004 hingga 2009 (J).

Antara tema tersebut ialah :
1. Pelaburan dan tabungan
2. Perpaduan antara kaum di Malaysia
3. Isu alam sekitar di Malaysia- tanah runtuh, hakisan tanah, banjir kilat, penebangan hutan secara tidak terkawal
4. Isu kemelesetan ekonomi dunia - masalah pengangguranAtasi dengan cara bekerja sendiri/ berniaga.
5. Memulihara warisan bangsa - bangunan bersejarah,permainan tradisional
6. Kepentingan mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan sebagainya - persaingan di pasaran pekerjaan.
7. Sistem pengangkutan - kelemahan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya, kepentingan pengangkutan moden, keperluan lebuh raya.
8. Amalan membaca - kepentingan, cara-cara menggalakkan
9. Kesan alat komunikasi - telefon bimbit, internet
10. Pemanasan global- kerjasama antarabangsa untuk mengatasi masalah tersebut.
11.Jerebu
12.Kokurikulum
LAMBAIAN MALAR HIJAU

Contoh soalan KBKK.

1. Apakah kepentingan hutan ?
- habitat flora dan fauna
- kawasan tadahan hujan
- sumber perubatan tradisional
- kepentingan ekonomi
- imbangan suhu bumi/ ekosistem

2. Apakah cara-cara memulihara hutan ?
- Pendidikan alam sekitar
- Media massa elektronik dan bercetak
- Kempen yang berterusan
- Penanaman semula hutan secara mandatori
- penguatkuasaan undang-undang perhutanan

3. Apakah punca orang asli kurang menitikberatkan pendidikan ?
- Pendidikan tidak menjamin masa depan orang asli
- kemiskinan masyarakat
- tidak mampu membiayai kos pendidikan
- kurang kesedaran tentang kepentingan pendidikan
- Obligasi/ tanggungjawab untuk membantu keluarga
- Kurang mengamalkan pemakanan seimbang/ berzat
- kesan terhadap IQ

4. Apakah alasan Daneng tidak meneruskan pelajarannya ?
- Dia lebih mencintai kehidupan di hutan/ kampung halaman
- Tiada kebebasan bergerak dan bertindak di bandar
- Dia anak harapan keluarga di kampung
- Dia tidak dikaunseling/ diberi penerangan jelas tentang kepentingan belajar sehingga ke peringkat yang tinggi.
- Mata pencarian daripada hutan mampu menyara keluarganya.

5. Apakah cara terbaik menasihati pelajar yang tidak bermotivasi untuk belajar ?
- Mengenal pasti latar belakang keluarganya
- sosio ekonomi keluarga.
- Selalu berbual-bual dan berbincang hal-hal yang berfaedah dengan pelajar tersebut.
- Sediakan kelas tuisyen khas untuk membantu mereka
- Dampingkan mereka dengan seorang Pembimbing Rakan Sebaya yang berkebolehan
- Sediakan keperluan pembelajaran mereka
- buku latihan yang sesuai
- Nasihati dan sentiasa mengingatkan kepentingan pelajaran pada masa hadapan.

Thursday, November 5, 2009

PENDAHULUAN KARANGAN RAMALAN 4 - Langkah Memperkasakan Bahasa Melayu

PENDAHULUAN

Dalam alam serba moden ini negara Malaysia yang gah di persada dunia menongkah arus pembangunan yang kian pesat bagi mengecapi status negara maju menjelang tahun 2020. Pemimpin Malaysia yang berwawasan dan berminda global berusaha dengan gigih bagi meletakkan Malaysia setaraf dengan dengan negara maju bak kata pepatah Melayu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Pembangunan pesat kini membantu Malaysia mengalami anjakan paradigma daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian menjadi sebuah negara yang ekonominya berasaskan perindustrian. Namun pembangunan dan kepopularan ini membawa pelbagai kesan negatif terhadap budaya warisan bangsa. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara Malaysia dianaktirikan. Bahasa Inggeris tinggalan penjajah menjadi ikutan anak-anak muda. Bahasa Inggeris diagung-agungkan dan diberi keutamaan. Lupakah anak bangsa Malaysia pepatah Melayu “Bahasa Jiwa Bangsa”? Patutkah pemodenan yang pesat kini menjadikan kita alpa tentang kepentingan bahasa Melayu yang menjadi warisan nusa bangsa? Bahasa melambangkan identiti sesuatu bangsa dan negara. Inisiatif yang konkrit dan pragmatik perlu diambil bagi memperkasakan bahasa Melayu.

TOPIK RAMALAN KOMSAS SPM 2009

TOPIK RAMALAN KOMSAS SPM 2009

  1. Jalan Jalan Raya Kotaku
  2. Hikayat Bayan Tidak Menurut Kata Ibu Bapanya
  3. Kerusi
  4. Jangan Bunuh Rama-Rama
  5. Pertarungan Tuah dengan Jebat
  6. Serunai malam
  7. Di Ruang Gemanya
  8. Syair Kelebihan Ilmu
  9. Sabor
  10. Anak laut
  11. Kezaliman Membawa Padah
  12. Anyss Sophelia
  13. Kepahlawanan Tun Beraim Bapa
  14. Derita Pertama
  15. Puteri Li Po

Tuesday, November 3, 2009

TOPIK RAMALAN - KARANGAN BM KERTAS 1 2009

Karangan 1

AMALAN BERJIMAT-CERMAT / MENABUNG
Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.


Karangan 2

PERPADUAN KAUM / SEMANGAT KEJIRANAN / RUMAH TERBUKA / GOTONG-ROYONG

Jelaskan punca-punca yang boleh menjejaskan perpaduan ini untuk menjadi renungan kita semua.

Karangan 3

BENCANA ALAM / PENCEMARAN ALAM / JEREBU

Cara - cara menangani.

Karangan 4

KEMELESETAN EKONOMI / KERJA SAMPINGAN / IBU BAPA MEMPUNYAI DWIKERJAYA

Jelaskan kebaikan-kebaikan bekerja sendiri.


Karangan 5

PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH / BUDAYA WARISAN BANGSA

Karangan 6

KEPENTINGAN MEMPELAJARI BAHASA ASING

Karangan 7

PENGANGKUTAN AWAM

Pada pandangan anda, apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk memajukan sistem pengangkutan awam di negara ini.


Karangan 8

AMALAN MEMBACA / NOVEL / SASTERA / KEPENTINGANNYA

Namun, apakah kekangan-kekangan yang timbul dalam merealisasikan impian ini?


Karangan 9

PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT / INTERNET

Jadi, apakah impak-impak negatif yang timbul daripada penggunaan teknologi ini.

Karangan 10

PEMANASAN GLOBAL / PEPERANGAN

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah kerjasama yang mampu dilakukan oleh pihak masyarakat antarabangsa dalam isu ini?

Karangan 11

MENYEMAI SEMANGAT PATRIOTISME / JATI DIRI / MODAL INSAN / SUBJEK SEJARAH - PEMANGKIN SEMANGAT CINTA AKAN NEGARA

Karangan 12

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT / MAKANAN SEIMBANG / KEPENTINGAN BERSENAM ATAU BERJOGING

Karangan 13

KEPENTINGAN AKTIVITI KOKURIKULUM

Karangan 14

MASYARAKAT PENYAYANG / GAGASAN 1MALAYSIA

Saturday, September 12, 2009

RAMALAN 3 - BAHASA MELAYU SPM 2009 - PENDERAAN KANAK-KANAK

Isu penderaan kanak-kanak merupakan isu yang tidak habis-habis diperkatakan, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Berita-berita tentang kanak-kanak yang didera sering dipaparkan.
Pada pendapat anda, mengapakan gejala ini berlaku?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak itu seperti kain putih. Dia dilahirkan dalam keadaan bersih dan tidak berdosa, dan kedua-dua ibu bapa merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kain putih tersebut. Ini menunjukkan peranan ibu bapa yang begitu afdal dalam menentukan anak yang dilahirkan menjadi insan yang sempurna. Si anak perlulah diberi kasih sayang yang secukupnya. mereka haruslah dibelai, didodoi, dan diberi segenap perhatian. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku, harapkan pagar dan pagar makan padi. Pada hakikatnya, kenyataan ini mempunyai kebenarannya. Ini telah terbukti apabila sesetengah ibu bapa terlibat dalam penderaan kanak-kanak. Jika diselak dada akhbar sesekali kita akan digemparkan dengan berita penderaan kanak-kanak yang dipaparkan di dada akhbar. Mengapakah fenomena negatif ini akan berlaku? Adakah ibu bapa telah melupakan tanggungjawab mereka dalam mencorakkan kain putih tersebut? Kita semua haruslah mengkaji masalah ini secara mendalam dan berusaha dengan giat bagi mengatasi masalah yang semakin kronik dan melarat ini dengan konsep jika tiada angin yang bertiup masakan pokok akan bergoyang dan dengan keyakinan bahawa setiap penyakit pasti ada penawarnya.

Salah satu punca berlakunya fenomena negatif ini adalah kerana masalah dalaman sesebuah keluarga. Kajian menunjukkan penderaan sering dilakukan oleh orang yang berdekatan atau mempunyai pertalian darah dengan anak-anak yang menjadi mangsa. Contohnya, pihak yang biasanya menjadi titik permulaan kepada penderaan kanak-kanak termasuklah ibu bapa, ayah dan ibu tiri, ataupun ibu dan bapa saudara. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan yang rapuh antara suami dan isteri akibat daripada campur tangan pihak ketiga. Apabila keadaan ini berlaku, produktiviti terhadap kerja ibu bapa tentulah akan merosot. Mereka seterusnya akan diberi tekanan oleh majikan supaya meningkatkan produktiviti. Kalau tidak, ibu bapa akan menghadapi risiko untuk dipecat oleh majikan. Dalam perjalanan pulang ke rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang akan menambahkan ketegangan mereka. Apabila sampai di rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi karenah anak-anak yang selalunya menginginkan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Semua masalah yang bertali arus ini amat menekan perasaan. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila ditambah pula dengan kenaikan harga minyak belakangan ini yang menyebabkan kos kehidupan semakin tinggi. Apabila tertekan, ibu bapa pula akan menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan geram dan anak-anak itu didera.

Selain itu, sejarah hitam ibu bapa pada masa kecil juga menjadi satu punca berlakunya penderaan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa penderaan kanak-kanak sering dilakukan oleh orang yang pernah menjadi mangsa penderaan semasa mereka dalam alam kanak-kanak dahulu. Keadaan ini berlaku kerana ibu bapa beranggapan bahawa mereka pernah menjadi mangsa penderaan dan anak-anak mereka pun patut mengalami kesakitan dan penderitaan yang pernah dialami oleh mereka. Biasanya, keadaan ini akan berlaku kerana ibu bapa mengalami penyakit mental dan mempunyai emosi yang tidak stabil. Penderaan yang berterusan pada peringkat umur yang rendah sememangnya akan meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam jiwa anak-anak. Di samping itu, ibu bapa juga berpendapat mereka dapat memuaskan diri dari segi psikologi apabila mendera anak-anak. Semua ini telah menyebabkan titik permulaan di mana si anak akan dimarahi, ditengking dan tidak dihiraukan ataupun dipedulikan. Keadaan ini akan menjadi lebih kronik apabila ibu dan bapa mengamalkan salah guna bahan berbahaya seperti dadah dan minuman keras untuk mencari ketenangan. Apabila ibu bapa berada dalam keadaan mabuk akibat meminum minuman beralkohol atau berkhayal akibat penyalahgunaan dadah , mereka tidak akan menyedari akan pembuatan mereka sendiri apabila mendera anak-anak mereka. Anak merupakan anugerah tuhan yang tidak ternilai harganya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap insan menjaga dan membimbing anak tersebut ke arah yang benar.

Selain itu, kesempitan hidup yang dihadapi oleh sesebuah keluarga juga menjadi antara faktor berlakunya penderaan kanak-kanak. Ini kerana ibu bapa tidak mampu menanggung perbelanjaan membesarkan si anak dan terpaksa menyerahkan anak kepada orang lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan memberikan kadar upah wang yang tertentu pada setiap bulan. Maka, saudara tersebut pula berjanji untuk menjaga si anak dengan harapan akan mendapat upah wang seperti yang dijanjikan pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberi upah wang seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak memberi pertimbangan pula akan menyebabkan si anak menghadapi akibatnya. Kadang-kala, penjaga akan memukul si anak dengan tali pinggang, mencucuk si anak dengan puntung rokok ataupun membiarkan si anak dalam keadaan kelaparan. Yang menyedihkan lagi , terdapat sesetengah penjaga akan mengejutkan masyarakat apabila si anak tersebut dianiaya melalui keganasan seksual. Apabila si anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa tubuh si anak menjadi lebam dan lemah dan seterusnya akan melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa pula tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan antara mereka dengan saudara mereka.

Di samping itu, kurangnya pendidikan agama dalam kalangan pasangan suami isteri juga merupakan antara penyebab masalah penderaan kanak-kanak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa ada memperoleh didikan agama. Walau bagaimanapun, tidak ramai dala kalangan ibu bapa yang mengamalkan ajaran agama mereka. Keimanan ibu bapa pula akan menjadi tidak utuh akibat daripada penghayatan agama yang tidak kuat. Jika penghayatan agama kuat, tidak mungkin ibu bapa akan berkelakuan bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Sebagai orang dewasa, ibu bapa perlulah berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata dan haruslah mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya terhadap anak-anak dan bukannya melepaskan geram kepada mereka. Kajian menunjukkan mereka yang sanggup mendera darah daging sendiri merupakan pasangan muda. Ini kerana pasangan muda menganggap bahawa hidup mereka masih remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Selain itu, mereka pun belum bersedia untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Di samping itu, orang muda pula sering berdarah panas dan mudah naik marah dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak seperti merosakkan harta benda rumah, menangis sepanjang waktu , menconteng buku, dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kesabaran ibu bapa mula cair dan anak-anak pula akan menjadi sasaran kemarahan ibu bapa.

Konklusinya, punca berlakunya kes-kes penganiayaan terhadap kanak-kanak ini bermula dari rumah. Ibu bapa sepatutnya membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna. Ibu bapa juga haruslah berusaha untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak di samping menanam sikap sayang-menyayangi antara mereka. Selain itu, semua pihak seperti ibu bapa, guru-guru, kerajaan serta masyarakat juga perlulah bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini. Setiap pihak perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah ini dan bukannya menuding jari ke arah pihak lain. Sebenarnya, pelbagai usaha telah diambil untuk mengatasi fenomena negatif sebelum ini tetapi usaha tersebut bagai hujan jatuh ke pasir kerana usaha yang diambil tidak berterusan serta tidak berkekalan. Oleh itu, usaha baik yang diambil oleh setiap pihak perlulah dilakukan secara konsisten dan bukanlah hangat-hangat tahi ayam sahaja.

(1098 patah perkataan)

Friday, August 28, 2009

RAMALAN 2 - BAHASA MELAYU SPM 2009 - KEMALANGAN JALAN RAYA

PUNCA-PUNCA / FAKTOR-FAKTOR / SEBAB-SEBAB - BERLAKUNYA KEMALANGAN JALAN RAYA

  1. Sikap pemandu yang cuai
  • Sebilangan besar pemandu tidak menumpukan perhatian yang sewajarnya ketika memandu kerana sibuk melakukan perkara lain sambil memandu seperti menggunakan telefon bimbit, bercakap dengan penumpang lain dan sebagainya. Sekiranya pemandu gagal memberi tumpuan ketika memandu, para pemandu tidak mampu bertindak pantas semasa berlaku kecemasan. Para pemandu harus tahu bahawa "malang tidak berbau".

2. Keadaan jalan raya dan cuaca yang buruk

  • Jalan yang berlubang-lubang dan cuaca yang buruk merupakan rintangan yang terpaksa dihadapi oleh pengguna jalan raya. Situasi ini akan mengganggu kelancaran pemanduan kereta, terutamanya apabila berlaku kesesakan jalan raya. Cuaca yang buruk seperti hujan lebat akan menjejaskan jarak penglihatan para pemandu dan risiko berlakunya kemalangan akan meningkat.

3. Pemandu yang tidak bertanggungjawab

  • Pemandu yang beregoistik tinggi, memandu melebihi kadar had laju yang ditetapkan dan memandu untuk menunjukkan kejantanan.Misalnya, mat rempit yang suka bermaharajalela dan menunjuk-nunjuk pada waktu malam. Mereka ini rela bergadai nyawa dengan melakukan aksi lagak ngeri dan berlumba dalam keadaan mabuk semata-mata untuk diterima dan disanjung tinggi oleh rakan-rakan. (Ikut hati mati, ikut rasa binasa). Perbuatan tersebut mengundang padah bukan sahaja kepada mereka, malahan kepada para pengguna jalan raya yang lain.

Wednesday, August 12, 2009

TOPIK RAMALAN
BAHASA MELAYU
SPM
KERTAS 1
2009
- Pengangkutan awam

Masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor pengangkutan awam di Malaysia:

  • Aktiviti vandalisme yang dilakukan terhadap pengangkutan awam.
  • Caj pengangkutan awam yang tidak berpatutan terutamanya bayaran perkhidmatan teksi.
  • Pengangkutan awam yang begitu kotor telah menjejaskan imej negara di persada dunia.
  • Kemudahan pengangkutan awam yang kurang dan tidak mampu memenuhi permintaan rakyat Malaysia.

Langkah-langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam di Malaysia :

  • Mendidik rakyat atau pengguna tentang etika yang betul dalam aspek penjagaan pengangkutan awam.
  • Kerajaan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan dengan lebih ketat lagi dan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pengguna yang merosakkan pengangkutan awam.
  • Mengadakan pelbagai pameran, pertandingan poster dan slogan di merata-rata tempat untuk mengingatkan rakyat agar menjaga kebersihan pengangkutan awam.
  • Ibu bapa perlulah mendidik anak sejak kecil agar sama-sama menjaga kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh kerajaan.

Kepentingan pengangkutan awam :

  • Membantu rakyat miskin yang tidak mampu membeli kenderaan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
  • Memudahkan mobiliti rakyat.
  • Menarik minat pelaburan asing untuk melabur di Malaysia.
  • Mengurangkan kadar pencemaran sekiranya semua rakyat bekerjasama dalam menggunakan pengangkutan awam yang disediakan oleh kerajaan.
  • Membantu mengurangkan masalah kesesakan jalan raya.
  • Membantu kerajaan menjimatkan wang kerana tidak perlu memperlebarkan jalan raya yang sedia ada dan tidak perlu membina lebuhraya yang baru. Wang itu dapat digunakan untuk memperkasakan kemudahan kesihatan dan pendidikan untuk rakyat Malaysia.